Sekiranya terpaksa menempah perjalanan udara utk urusan kerja, saya lebih memilih utk book perjalanan di awal pagi, lebih kurang pukul 7am. Di luar musim tengkujuh, perjalanan waktu ni adalah amat INDAH dan MENAKJUBKAN sekali. Naik di atas awan sana, MasyaAllah…sukar digambarkan dengan kata-kata. Dengan sinaran cahaya matahari yang bersinar lemah gemalai dicelah2 awan yang memutih. Gumpalan awan memutih bagaikan gumpalan kapas yang paling bersih dan indah yang memenuhi setiap ruang angkasaraya yang amat luas yang seolah2 tiada garis pemisahnya. Umpama lukisan indah diatas kanvas yang terbentang luas, yang dilukis oleh pelukis yang paling bijak dalam dunia ini.

Ciptaan Allah berupa awan, gunung, matahari, bumi dan bulan adalah satu ciptaan yang luar biasa. Kebesaran, Keagungan, Kesempurnaan Allah nampak amat jelas dan nyata. Tiada sebarang kekurangan walaupun sebesar atom/zarrah sekalipun. Allah yang menciptakan alam yang amat indah ini, sudah semestinya tidak mahu ciptaannya yang lebih utama, iaitu MANUSIA ini menjadi tidak indah, HINA DINA dan BURUK. Maka, dalam diri semua MANUSIA dalam dunia ini ALLAH campakkan sifat inginkan KEMULIAAN, sifat inginkan KEINDAHAN, sifat inginkan KEBAIKAN dan sifat inginkan KEBAHAGIAAN. Inilah hakikat JIWA yang dijadikan ALLAH yang dengan sifat itulah dijadikan modal oleh manusia untuk menciptakan segala macam bentuk kebaikan dalam dunia ini. Inilah potensi tenaga yang mesti digarap oleh manusia untuk menjadikan dirinya hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Allah telah menunjukkan kepada kita dua jalan; jalan untuk menuju kehancuran dan kehinaan serta jalan yang lain yang menuju kebaikan dan kebahagian. Hanya yang tinggal bagi kita adalah memilih salah satu jalan ini. Pilihan adalah di tangan kita. Kita bebas memilihnya.

Maka, marilah kita berfikir besar (think big), dan bercita-cita tinggi. Kita tidak diciptakan untuk menjadi orang yang hina, kalah dan lemah, tetapi kita diciptakan oleh Allah sebagai wakil ALLAH untuk mentadbir alam ini, yang menggunakan segala potensi kebaikan yang sedia ada dalam diri kita untuk mencipta kebaikan utk alam ini, kebaikan untuk diri kita serta manusia keseluruhannya. Yang mampu menjadi nukleus kebaikan yang berlegar disekelilingnya segala unsur-unsur yang baik. Yang mampu menguasai dirinya dalam setiap masa dan keadaaan. Yang mampu memacak bendera kebaikan dan berdiri disekelilingnya segala kebaikan & keselamatan yang diimpikan manusia keseluruhannya.

Percayalah, kita adalah individu dan umat pilihan yang dibangkitkan untuk alam ini. Keberadaan kita dalam dunia ini bukannya hanya suatu kebetulan. Masa dan kehidupan yang dianugerahkan Allah bukan suatu barang buruk yang tiada nilai, yang boleh dibeli dipasar atau dilemparkan sesuka hati ke dalam tong sampah. Yang boleh disia-siakan sesuka hati. Kerana itu, orang yang mengsia-siakan dan memperlekehkan barang amat bernilai anugerah sang PENGUASA, maka azab dan akibatnya amat pedih sekali.

Kita diciptakan untuk BERJAYA dan MEMIMPIN. Maka bangkitlah dari lena yang panjang. Gunakan tenaga, kekuatan dan energi yang ALLAH anugerahkan kepada kita sebaiknya. Sekiranya jatuh dan rebah, maka sedarlah dan yakinlah, ALLAH inginkan kita belajar akan kehidupan ini. Bangkitlah semula kerana ALLAH amat mencintai kita, DIA lebih dekat dengan kita lebih dari urat leher kita sendiri. Dia Maha Mendengar dan sentiasa memakbulkan doa, rintihan, taubat dan pengharapan kita. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Anugerah paling berharga untuk mereka yang berjaya di akhir perjalanan ini ialah mendapat keredhaan ALLAH serta melihat wajah ALLAH di syurga nanti, hidup bahagia dalam kehidupan yang kekal abadi, yang tiada lagi kehidupan selepas itu.

“Ya Allah, saksikanlah, hambaMu telah menyampaikan…”.
Abu Naim

Sila rujuk:
1. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya (AlQuran: AsSyam: 8)
2. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri [229], mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui (AliImran: 135)
3. Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan[768] yang ada pada diri mereka sendiri. (AlQuran: Ar Ra’d: 11)

4. Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya (AlQaf: 16)

5. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (AlBaqarah: 186)

Category: | 0 Comments

Sekejap tadi masa beli makanan kat kedai di kemasik, tertengok program 360 di TV3 yang di host kan oleh Mazidul Akmal Sidik. Masa nak habis tu, ditunjukkan rakaman video kejadian tanah runtuh yg meranapkan sebuah rumah kat Ulu Yam, Hulu Selangor, yang si ibu berlari setengah jam nak keluar cari bantuan.

Dua beradik terbunuh. Dalam siaran tersebut, ditunjukkan rakaman wajah-wajah dan gelagat mangsa dirumah semasa hidup, diselang seli dengan video clip waktu nak cari mayat tu. Ditunjukkan macam mana wajah si ibu dan ayah yang teramat sedih. Menangis, sedih, hampa, kosong... Fuhhh..Syahdu sungguh.... ditambah lagi dengan paparan video yang perlahan2 serta berlatarbelakang satu lagu sedih.

Si ayah ni adalah seorang pilot dengan FireFly. Aku kenal dia. Dia baru saja join FireFly. Dulu dia Pilot kat MHS, pesawat ringan yang selalu ulangalik KL-Kertih. Pesawat sewaan khas PETRONAS Carigali dan ESSO yang terbang 4 kali sehari Kertih-Subang.

Kelmarin pulak 2 beranak terbunuh sebab accident kat highway dalam perjalanan dari Johor ke Shah Alam. Ibubapa adalah pasangan polis. Yang terbunuh adalah si ayah dan anak lelaki sulung berumur 6 tahun. Masa accident tu si ibu dan adik kecil tercampak keluar ikut cermin depan. Hanya cedera ringan. Kalau tengok keadaan kereta, memang mustahil ada yang hidup. Allah Maha Kuasa. Si Ibu cerita, malam sebelum kejadian tu, anak dia yang meninggal tu tak semena-mena datang peluk dia, lepas tu cium dahi, mulut, pipi kanan, pipi kiri lepas tu kata yang dia "tersangat sangat sayang kat mak"

Beberapa bulan lepas, ada jiran dalam perumahan aku. Diaorang ada seorang anak kecik berumur setahun lebih, baru boleh nak jalan dan cakap2. Satu hari si anak sakit perut, asyik muntah. Bawa gi pakar. Pakar pun tak tau punca, masih dok diagnose. Beberapa hari lepas tu, meninggal dunia. Meninggalkan ayah dan ibu yang masih terpinga-pinga, macam tak percaya anak yang diulit, ditatang, di dukung selalu...dah tak ada didunia ni. Fuhhh...aku boelh rasa perasaan mereka.

Aku ada hantar email, ucap takziah dengan bagi beberapa petikan hadis mengenai kematian anak kecil.

Sebelum ni x pernah aku nampak diorang datang surau taman kami. Tapi lepas kematian anak tu, kerap sungguh nampak mereka berdua datang surau. Ada hikmahnya...semoga Allah akan beri yang terbaik buat mereka...

Seorang Ustaz, bekas Adun PAS di di Dungun masa pemerinthan PAS tahun 2000-2004. Sebelum balik Terengganu, khabarnya dia mengajar kat Brunei. Ada seorang isteri dan beberapa anak kecil (mungkin 3-4 orang). Satu hari, kena kemalangan. Kereta masuk sungai. Ditengah2 kelam kabut tu, ustaz ni boleh keluar, cuba nak tarik zaujah dia keluar sama. Tapi zaujah dia tak mau, sebab tak boleh keluar bersama-sama dengan semua anak2 dia. Last sekali semua anak bersama si isteri lemas. Ustaz ni selamat...masyaAllah...

Ustaz ni cerita, sejak tu dia trauma yang hebat. Terkenang-kenang saat cemas dan nasib semua orang yang dia sayang. Semuanya hilang dalam sekelip mata tanpa tinggal apa2 pun. Khabarnya, sampai sekarang pun kalau dia ceramah, lepas tu terdengar ada kanak2 menangis, dia akan terhenti ceramah....

Dulu aku pernah baca cerita kisah seorang mujahidin yang terlibat dengan MILF kat selatan Philipine. Dia orang arab. Datang Filipina dengan tinggalkan dinegara dia seorang isteri dengan seorang anak perempuan kecil. Datang utk membantu orang Islam Filipina.

Satu hari, ada kawan ternampak dia duduk di tepi sebuah sungai sambil dok perhati sesuatu ditangannya. Kawan ni gi intai pelan2. MasyaAllah...ditangan dia adalah photo anak perempuan dia tu. Air mata mengalir dipipi dia. Air mata seorang mujahidin, pejuang yang hebat.....derita rindu seorang ayah.... tak lama lepas itu, dalam satu operasi, diorang pi serang dan merempuh satu pos/kem tentera kafir Filipina. Ramai tentera yang terbunuh. Si mujahid ni lah antara yang paling berani. Akhirnya dia pun terbunuh dan syahid. Cerita keberaniannya ini masuk paper besar-besaran dan menjadi kegemparan dunia....

Begitulah dunia ni......Isteri & anak2 adalah suatu kurniaan Allah yang amat dahsyat. Masuk hari ni, dah hampir 2 minggu tak jumpa anak2, sebab diorang ada kat kg, d kelantan. Dok telefon saja. Dengar suara dengan keletah dan gurau senda nya, masyaAllah amat indah sekali. Esok aku balik, InsyaAllah...semoga mereka akan terus menjadi sumber kekuatanku dalam meniti kehidupan dan perjuangan di dunia ini, demi bersama2 memburu Redha Allah SWT...


"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" (alKahfi: 46)

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak[186] dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)" (aliImran: 3)

Category: | 0 Comments

Malam tadi gi rumah Ust Sufkeri kat Kemaman dengan Ikhwan utk ziarah & satu perbincangan. Bertolak lepas solat maghrib kat Kertih. Sampai sana tengok ada beberapa orang jiran2 wanita dok belajar baca Quran dengan zaujah (isteri) ustaz. Jadi kami pun ambil keputusan utk gi solat & makan dulu (aku amat setuju sekali dengan cadangan tu sebab aku amat lapar (mungkin dah taraf kebuluran), tak sempat makan dari pagi tadi lagi kat office. Teringat gak nak makan dulu on the way tu, tapi tahan dulu sebab nak cepat sampai seperti yang dijanjikan).

Lepas makan (Alhamdulillah..nikmatnya), kami pi lagi ke rumah ustaz. Dari luar nampak ada seorang lelaki tengah baca AlQuran dengan Ustaz. Usia dia mungkin dalam lingkungan lewat 40an. Tak sampai 5 minit, dia pun terus keluar dan naik kereta kancil yang diletak tak jauh. Dalam kereta isteri dia dah tunggu. Aku & Ikhwan hanya perhati saja dari dalam kereta.

Dalam rumah ustaz cerita yang sekrang ni ada dalam 5 orang 'pelajar2 dewasa' yang setiap malam datang baca AlQuran dengan dia. Depa ada yang datang sejauh Bukit Kuang. Memang amat jauh kalau utk datang setiap malam. Memang orang yg commited saja yang boleh buat mcam tu. Hebat, diorang 'orang biasa' yang bersemangat waja utk berjinak2 dengan AlQuran. Walaupun dah melepasi 'usia belajar' biasa, tapi diorang tak ada masalah. Sanggup bersusah payah...

Teringat pulak beberapa hari lepas. Buat futsal kat kemaman utk student. Antara yang hadir ialah students dari Dungun, lebih kurang 85KM dari Kemaman. Masa perjalanan Dungun-Geliga,Kemaman lebih dari sejam, kena lalui 3 bandar/pekan (paka, kertih, kemasik, kemaman) serta melalui lebih kurang 15 traffic light. Diorang datang dengan kereta. Mereka juga adalah orang-orang biasa yang baru nak terlibat dengan aktiviti yang Islamik.

Teringat satu lagu nasyid yang aku pernah bernasyid bersama kawan2 masa disekolah menengah dulu. Lagu yang amat nostalgic bagi aku. Dengar lagu ni, akan terimbau kenangan2 bersama kawan2 dalam Persatuan Pelajar Islam (PPI), yang aku pernah memimpinnya. Dok cari gak dalam Internet, masih belum jumpa. Kasetnya pun dah entah kemana. ANtara yang masih teringat:

Hulurkanlah salam simpati
Buat mereka yang masih mencari
jauh dari redha Ilahi
Moga terbuka hati

Tunjukkanlah jalan tuhanmu
Jelaskanlah yang dikaburi
Meskipun kita dipandang sepi
Hidayah ditangan Ilahi

(dok ingat dah..)

Category: | 2 Comments

MasyaAllah, lama dah rupanya aku tak update diari online ini. Dah hampir sebulan...sepanjang masa ni, macam2 dah terjadi. Sekejap saja masa berlalu. Macam lompat saja dari sehari ke sehari, dari sebulan ke sebulan.....dihambat oleh kesibukan yang amat dahsyat dan hebat yang seolah-olah tidak pernah mengenal rasa simpati. Dikejar oleh masa yang amat pantas berlari. Berlari siang dan malam tanpa henti. Kadang-kadang tanpa disedari... Itulah kehidupan.

Bila toleh balik ke belakang, jalan yang dah dilalui tu rupa-rupanya penuh dihias dengan warna-warni kehidupan, ada putih, ada hitam, ada gelap ada terang, ada renup ada panas. Subhanallah, hebatnya DiriMu ya Allah...Engkaulah yang mentadbirkan alam ini dan seisinya. Engkau jadikan dunia ini sebagai medan tapak ujian kepada hambaMu.

"Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun" (Al-Quran Al-Mulk:1-2)


Aku amat dan teramat bersyukur kepadaMu Ya Allah yang telah mengurniakan kehidupan ini kepadaku. Yang telah 'meminjamkan' masa kepada ku buat seketika. Yang menunjukkan jalan ISLAM & IMAN ini kepadaKu. Yang membayangkan kepadaku jalan untuk menghampirkan diri kepadaMu. Ya Allah.....Siapalah aku disisiMu. Seorang hamba yang sentiasa bersalah & tersalah. Yang sentiasa terlalai dan berdosa. Yang sentiasa mengharap simpati dan kasihMu. Tiadalah aku didunia ini tanpa keizinanMu. Tiada sekelumit amalku yang mampu kulakukan tanpa kudrat dan hidayah yang kau berikan. Tiada yang mampu ku ucapkan walau setengah patah tanpatenaga yang kau berikan. Hebatnya diriMu Ya Allah...Ya Allah....

Tiada apa yang terlebih sekiranya kau tahan semua pemberianMu kepadaku. Tiada sedikit pun berkurang kekuasaan disisiMu sekiranya kau berikan semua kehendakku. Engkau bebas buat apa sahaja kepadaku....Ya Allah..ampunilah semua dosaku yang banyak ini. Tetapkan aku atas jalan Iman dan perjuangan ini sehingga tarikan nafas ku yang terakhir. Tetapkanlah pendirian, hati dan kehendakku utk mentaatiMu di atas jalan ini. Aku amat lemah, sentiasa mengharap diriMu Ya Allah....kasihanilah hambaMu ini Ya Allah...kasihanilah HambaMu ini Ya Allah....kasihanilah hambaMu ini Ya Allah....



Category: | 0 Comments

Pagi tadi kat office ada rakan sekerja dari Sudan datang. Dia on job training selama hampir seminggu di sini. Aku salah sorang yg present/briefing pasal function & operations kami. Habis sessi briefing ni, sambil makan kuih2 dan minum kat dalam bilik mesyuarat tu, kami berborak agak panjang. Orang lain dah keluar. Dia ni seorang muslim, berasal dari Khartoum. Dia cerita banyak gak pasal Sudan & Darfur (yg sebenarnya aku dah beberapa kali dengar daripada rakan2 Sudan yang pernah datang sini).

Dipendekkan cerita, satu part yang aku amat hairan ialah dia ni amat sokong Amerika. Dia kata kerajaan sekarang patut digulingkan, dan setuju kalau Amerika tolong dan macam2 lagi. Aku teramat pelik dan hairan. Aku argue juga dengan dia pasal Amerika-Sadam-Iraq etc. Fikir aku, patut la Amerika-Zionis mampu bertahan sikit lagi jadi polis dunia ni. Sebabnya amat jelas. Masih ada ramai lagi yang bagi depa sokongan, hatta orang Islam sekali pun. Di Iraq dulu, orang2 Arab Iraq sebahagiannya sambut kedatangan Tentera Amerika dengan fanatik sekali. Kononnya, depa lah hero dan penyelamat. Akhirnya hampir semua tergadai i.e Tanah, maruah, agama, keamanan, ilmu, sejarah, ketamadunan.

Apa yang Amerika nak hanyalah jajah negara Islam yang kaya raya dengan hasil bumi. Sudan amat kaya dengan minyak (sekarang pengeluran hampir 500KBD (500K barrel per day)), emas, perak (terutama di Darfur). Mereka juga nak hancurkan ISLAM sebagai sebahagian daripada siri-siri perang salib.

Patutla juga, antara 'teori' terkini kebangkitan semula Islam & seperti yang disuluh oleh sirah Rasulullah ialah 'manhaj taghyir' mesti bermula dari dalam diri manusia dahulu. Bangsa yang nak maju mesti ada jatidiri & perubahan mindset. Mesti bermula dengan kekuatan akidah, kekuatan ukhuwah dan kesatuan dan seterusnya kekuatan fizikal & persenjataan. Aqidah yang sejahtera adalah berpaksikan kepada ketaatan dan penyerahan diri yang bulat kepada Allah dalam segala urusan. Pandangan kita dalam semua permasalahan mesti bersumber dan berpaksi kepada ISLAM. Apa yang baik bagi ISLAM adalah baik bagi kita, dan begitulah sebaliknya. Tidak guna ada senjata yang canggih-canggih dan hebat, namun digalas oleh seorang yang lemah iman dan kefahamannya terhadap ISLAM. Yang celaru hidupnya dan jauh dari jalan ISLAM sebenar. Diakhirnya, ada kemungkinan senjata yang sama akan dihalakan kepada umat ISLAM lain atas pelbagai nama2 kosmetik.

Category: | 0 Comments


Pagi tadi (Isnin 10/11/2008) mak bagitau yang Tuan Guru Hj Mansor di Merbok Kedah telah meninggal dunia, beberapa ketikan sebelum masuk subuh. Tok guru yang lebih kami kenali sebagai Tok Su Hj Mansor adalah sepupu kepada tok wan (datuk) aku. Umurnya dalam lingkungan 70an.

Sebelum ni dia dah lama tak sihat, selalu batuk2 dan jantung. Mak cerita, dah lama dia sakit tapi allahyarham ni amat kuat semangat, walau sakit dan suara tak keluar pun, gagah juga nak mengajar. Dia pernah ada pondok, tapi sekarang ni pondok dah tak ada. Mak aku adalah pelajar tetapnya setiap pagi jumaat dan beberapa malam antara maghrib-Isya'.

Akhlak & peribadi dia terjaga daripada kecik lagi. Muda-muda dulu dia gi belajar kat Kelantan, ada satu pondok tu kat Pasir Putih. Dulu jalanraya timur-barat tak ada lagi, jadi depa pi ikut siam, naik keretapi. Dia amat committed dengan amalan, memang dia amat jaga sungguh, daripada siwak, celak, solat sunat dan zikir.

Dia dah mengajar sejak 50 tahun lepas, tanpa henti. Boleh bayangkan berapa ramai anak murid dan mad'u nya. Bila dia meninggal ni, semua kenalan & anak-anak murid dia datang. Ada tok-tok guru datang bertongkat, berpimpin dan sebagainya, datang dari jauh dan dekat. Datang cium2 wajahnya mcm tak nah lepas. Tok aku yang umur hampir 100 tahun pun minta utk dibawa juga, mengesot naik tangga rumah dia utk pergi ziarah.

Solat jenazah kena buat sampai 3 kali sebab tak cukup tempat kat. Itu pun ada lagi orang yang belum sempat solat sebab dah nak dibawa ke kubur. Dia dah pesan waktu mengajar, kalau dia meninggal minta cepat-cepat dikebumi & diselenggarakan sebab ornag beriman ni dah sangat tak sabar untuk jumpa tuhannya. Itulah wasiatnya. Dia dah terlalu bersedia dan rindu akan pertemuan dengan tuhannya. Ibrah utk aku......

Dah lama juga kali terakhir aku ziarah dia, biasanya hari raya lah. Ikut YB Dr Hamdan dalam blognya, inilah satu-satunya Tok Guru di Merbok ni. Gambar ni pun aku ambil dari blog dia at
http://aduntgdawai.blogspot.com/ . Semoga Allah akan menempatkan almarhum dalam golongan pada para solihin. Amin.

Category: | 0 Comments

Saya adalah ahli PEMBINA- Persatuan Belia Islam Nasional . Blog PEMBINA, sila lawati pembinaterengganu.wordpress.com , utk website PEMBINA www.pembina.com.my

-------------------------------------------------
PEMBINA – Singkatan daripada Persatuan Belia Islam Nasional adalah sebuah NGO yang bergerak atas kefahaman ISLAM yang syumul (menyeluruh) dan sempurna. Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apa yang PEMBINA buat, apa program PEMBINA, apa fikrah PEMBINA, apa dasar PEMBINA, apa matlamat utama PEMBINA.

Jadi sukacita dinyatakan bahawa PEMBINA adalah sebuah NGO yang terbuka, yang boleh disertai oleh semua masyarakat, khususnya remaja dan belia ISLAM untuk bersama-sama beraktiviti dan berprogram dalam mengisi kehidupan seperti yang dituntut oleh ALLAH SWT, pencipta manusia dan alam ini keseluruhannya. Dasarnya adalah ISLAM dengan kefahaman yang sahih dan sempurna; kami nak faham dan beramal dengan ISLAM sepertimana yang difahami oleh para sahabat Rasulullah, para tabien, solafussoleh dan ulamak muktabar dulu dan masa kini, kefahaman tulen yang dijaga oleh Allah sampai hari kiamat.

Hari ini, ramai yang telah menjuzukkan ISLAM mengikut kefahaman yang bercerai-berai, alhasilnya lahirkan segala macam kefahaman yang pelik2 dalam masyarakat ISLAM. Ada kata ISLAM hanya perlu bersih hati saja, maka beramai-ramailah pergi suluk/bertapa tanpa hirau yang selainnya. Ada kata ISLAM hanya ibadah khusus sahaja Tumpuan hanya untuk bincang2 bab Feqah saja, bab solat, puasa, haid, nifas, tayammum saja; selain tu tak payah la sibuk-sibuk. Katanya, kita jaga ibadah kita sudah la.

Ada pula yang telah mensudutkan ISLAM hanya di Masjid, keluar masjid hisap rokok atau cakap kata-kata lucah, no problem. Ambil pinjaman riba, tak sensitif. Beli produk yang jelas-jelas sokong Israel, tak rasa apa-apa. Berhujah secara melampau-lampau (al-baghyu) serta membawa perpecahan dalam masyarakat, dikatanya berprinsip dan amal soleh. Kadang-kadang ada yang bersemangat waja, berdakwah dan bertakbir sampai hilang suara, itu okay la, tapi sedihnya subuh berjemaah surau tepi rumah pun tak pergi. Al-Quran dibuka seminggu sekali. Ada pula yang rajin dan bersemangat beribadah, tapi terpalit pula dengan hal-hal bidaah. Dilain ketika, terlibat pula dengan syirik dan kurafat. Ada masalah at-tiyarah (merasa sial dengan sesutau), at-tiwalah (guna-guna), tamimah (azimat yang syirik) dan sebagainya.

Sebab tu kata Syeikh Abul A’la AlMaududi, orang yang kurang kefahaman melihat wajah ISLAM ni umpama orang yang buta yang tak pernah tengok gajah, satu hari tu cuba nak kenal gajah. Bila sibuta ni gi pegang kat kaki gajah, dia pun buatlah kesimpulan “ooo..rupanya gajah ni besar dan tegak macam pokok”. Ada seorang buta lagi, bila dia gi raba kat telinga gajah, dia pun buat kesimpulan “oo..rupanya gajah ni macam kipas saja”. Jadi, bila balik, masing-masing meletakkan kesimpulan tersendiri akan wajah sebenar gajah, yang langsung tak tepat. Kadang-kadang ketidaktepatan ini boleh membawa perpecahan, persengketaan, melampau-lampau dalam berhujah dan sebagainya. Baginya, hanya dia yang benar berdasarkan pengalaman hidup dan penafsiran yang dibuat.

Mari kita sama-sama lihat apakah definisi ISLAM yang sebenarnya yang ingin difahami, dihayati dan diamalkan oleh PEMBINA dalam kehidupan ini. Antara ungkapan yang dapat menggambarkan tentang ISLAM dalam abad terkini ini, ialah apa yang disebut oleh AsSyahid Imam Hassan Al-Banna, seperti berikut:

“ISLAM adalah Din (agama) yang syumul (menyeluruh), mencakupi semua bidang kehidupan. ISLAM adalah negara dan tanahair atau pemerintah dan umat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau Ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan (fikrah). Akidah yang benar dan ibadat yang sah”

Selalulah check blog ni utk update penerangan petikan diatas. Selain kefahaman yang sohih, pemuda ISLAM juga dituntut supaya melakukan ibadah dengan sempurna yang bebas daripada bidah, aqidah yang sejahtera yang tidak terpalit sedikit pun dengan hal-hal syirik dan khurafat, yang menjadikan Allah sebagai tumpuan dan rujukannya dalam setiap suasana, yang mampu meletakkan cita-cita dan seluruh hidupnya untuk ISLAM, tubuh badan yang kuat dan sihat, serta jatidiri yang kuat yang mampu berusaha untuk diri sendiri serta membawa kebaikan untuk orang lain.

Maka kita boleh buat apa saja program untuk memenuhi tuntutan tersebut selagi ianya dalam rangka menambahkan kefahaman terhadap ISLAM, menepati syariat serta dapat mendekatkan diri dan orang lain kepada Allah. Kita boleh buat program riadah (physical exercise), rehlah, tamrin/kursus, mukayyam (perkhemahan), berkelah, berenang, Kuliah ilmu (tafaqquh fiddin), main futsal, Qiamullail, Tadarus, mengembara/jaulah, tracking, pubic speaking, khidmat masyarakat, perbincangan kumpulan, ziarah ulama dan sebagainya.

Marilah sama-sama kita mengecapi hidup ini dengan kebahagian sejati di dunia dan InsyaAllah di akhirat kelak. Hidup dalam keadaan sentiasa mendapat keredhaan Allah. Hidup yang penuh dengan kebahagian kerana saadah (ketenangan hati) itu hanya dapat dikecapi oleh mereka yang dapat mengfungsikan deen (agama) ini dalam hidupnya. Selain daripada yang tersebut itu, hanyalah keseronokan sementara yang ada akhirnya. Kerana kita ini bermula dengan tidak ada, kemudian ada, dan suatu masa nanti jasad kita ini akan dihancur dan ditiadakan oleh Allah, sementara menunggu kebangkitan semula diakhirat kelak.

Category: | 0 Comments

Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya blog ni akhirnya dapat juga direalisasikan. Dah lama berhajat nak join dunia blog ni, baru kini kesampaian. Semoga Allah akan terus beri kekuatan azam & masa untuk sentiasa update. Semoga jadi salah satu tool utk cermin & muhasabah diri sendiri serta sumber kekuatan untuk terus beramal & berkerja mencari Redha Allah.

Category: | 0 Comments