Usai saja solat Isya' yang diimamkan oleh Ustaz Zaim Al-Hafiz, student kat Jami’ah Al-Afriqiyyah AlDauliyyah, tiba-tiba terdengar suara dua kanak-kanak menangis dan menjerit-jerit. Suara tu terus terbawa sampai keluar....menangis dan menjerit-jerit macam orang yang kesakitan. Makin lama makin jauh. Rasa menggelegak dalam hati aku....kesian..simpati....pilu...sedih...
Sepanjang solat tadi, dua adik beradik ni dalam usia 5-7 tahun, dok main, bersuka dan bergelak ketawa dibelakang saf solat. Aku tau, ayahnya mesti dah mengelegak sepanjang waktu solat. Sebab tu habis saja solat, ayahnya bingkas bangun dan lepaskan segala ‘lahar-lahar’ di luar tempat solat. Mungkin teruk juga budak-budak tu dikerjakannya. Aku pun tak pasti kenapa malam tu budak-budak 2 orang ni ‘galak’ sangat, sebab sebelum ni solat saja. Mungkin juga hari ni seronok lebih sebab dapat jumpa ayahnya yang dah 2 minggu outstation ke China. Kesian…
Dulu, semasa Naim (anakku yg sulung) belum berusia hampir 6 tahun, adalah waktu yg amat mencabar bila bawa gi solat jemaah, terutamanya waktu maghrib dan Isya' sebab waktu ini budak-budak lain pun ramai. Kalau subuh, adalah waktu yang paling tenang dan tenteram sebab dia dan adik-adiknya pun masih 'lemah', active point belum diaktifkan. Budak-budak lain pun tak ada, kalau ada pun, dalam keadaan 'lemah' juga.
Memang biasanya waktu solat tu, hati tak tenteram la bila dengar suara diorang bergelak, ketawa, bergurau senda,bercakap dan bising-bising..sekejap dengar ditepi surau, dikanan, diluar....fuhhh..mencabar sungguh. Habis saja solat sunat, dan naik kereta, habis la kena 'syarahan perdana'...masing-masing senyap saja, diam termasuk Usaid yg kecik...hahaha...kadang-kadang bila masuk saja rumah, terus gi 'report' ke Ummi nya dgn bahasa dan gayanya.
Jarang sangat sentuh fizikal, kalau ada pun paling kuat ialah cubit kat betis sambil bagitau kenapa kena cubit. Tapi kalau hari yang diorang solat dgn baik maka puji, sayang dan ulang-ulang cerita dan gembar-gemburkan se gah mungkin.
Kadang-kadang saja je bawa diorang lalu pusing-pusing jalan yang jauh, sebab nak bagi lama sikit 'bersyarah'. Memang selalunya berjanji la akan solat sampai habis, tapi dah namanya budak ni, malam esok dan seterusnya buat lagi...bila tanya macam-macam lah justifikasinya. Diorang kata ingat dan tau pesanan ayah, tapi bila kawan-kawan datang cuit dan kacau-kacau, mula-mula tu mampu bertahan, tapi lama-lama diorang pula yang lebih. Waktu tu Naim 5 tahun, Muaz 3 tahun dan Usaid 1 tahun.
Bila terdengar diorang bising tu, bukan setakat mengganggu jemaah solat, tapi juga risaukan keselamatan mereka. Mudah saja peraturannya, waktu solat kena solat sampai habis. Habis solat baru boleh main-main. Di masjid & surau ni, macam-macam dah jadi. Pernah Naim jatuh dari surau, alhamdulillah jatuh atas pokok bunga, hanya calar-calar saja lah (lucu juga, tengok-tengok dah kat kat bawah, dok peluk pokok bunga yang banyak semut gatal, sambil menangis. Muaz yg datang beritahu). Pernah Muaz (ke Usaid..?) pecah bibir dan luka dagu, hampir-hampir doctor nak jahit mulut dah malam tu. Bab-bab terjatuh, bengkak dahi dan luka dah banyak kali.
Tapi Alhamdulillah, sejak umur 5 tahun lebih, Naim dah okay, solat saja sampai habis dan boleh bagi arahan dan jaga adik-adik. Rupa-rupanya, memang macam tu, bila pegang yang 'kepalanya', ekor-ekor ni akan okay. Cuma kena sabar la sikit...bayangkan hal ini berterusan sejak Naim bayi dulu dan boleh dibawa ke surau sehingga umurnya 5 tahun, itulah rutinnnya. Memang betullah, tarbiyyah adalah proses yang panjang, perlu kesabaran, kelembutan, tahan & lawan perasaan, mengikut tahap (dan usia), ulang-ulang, latihan, hukuman, ganjaran, peringatan, muhasabah, doa dan harapan positif. Selain kita juga kena muhasabah sokmo dan sembang selalu hal diri sendiri dan anak-anak.
Selain tu selalu juga, kalau dah waktunya nak beli mainan atau buat atau pergi ke tempat-tempat yang mereka teramat suka, ambil kesempatan dengan kaitkan dengan apa yang diorang buat yang 'soleh-soleh'. Semua itu sebagai hadiah sebab, contohnya dah gi solat baik-baik (ada juga kadang-kadang comel saja solatnya), tolong ummi & ayah (specifikkan), tolong adik-beradik, tolong kawan-kawan, rajin baca Quran/Iqra', baca buku, tolong bagi apa-apa ke jiran etc...ungkitkan semula kebaikan mereka selalu. Memang nampak la semua ‘kembang hidung’ dan muka berseri-seri dan seronok kena puji. Bila dapat mainan ke, diorang rasa puas sangat .
Ada seorang tok imam di kawasan saya. Dulu dia amat ‘memusuhi’ orang lain bawa anak-anak kecil ke masjid. Macam-macam komen dan peringatannya, terasa hati la juga para ayah-ayah ni. Tiba-tiba suatu hari, anaknya berpindah dari negeri di utara dan tinggal sebelah saja dengan surau tempat dia jadi imam tu. Jadi cucunya selalunya datang ke surau tersebut. Dan kebetulan cucu-cucunya ni pula semua ‘hero’ dan ‘heroin’ tegar, menambahkan lagi kemeriahan surau tersebut. Jadi sejak tu, tok imam ni dah tak bising lah dengan orang lain yang bawa anak ke surau. Memang banyak tempat yang masih begitu, ada seorang penceramah kata “tidak mesra anak-anak”. Kadang-kadang bukan setakat anak-anak kecil saja, anak-anak remaja pun tak dihargai bila datang masjid. Last sekali, masjid hanya jadi tempat berkumpul mereka yang berusia pencen.
Gitulah namanya budak. Tak dinafikan memang ada anak-anak yang sejak kecil lagi dah boleh ikut peraturan tanpa masalah. Datang saja surau, duduk dan ikut saja ayahnya solat ditepi sampai habis.
Bila berada berjauhan ni..Ya Allah..rasa rindunya saat-saat itu semua. Sebab tu, saya rasa amat tidak elok sekali suami-isteri-anak tinggal berjauhan untuk waktu yang lama atau pun jumpa hanya sehari-dua dihujung minggu. Sebab zaman kanak-kanak ni hanya sekali. Waktu tu adalah period tarbiyyah yang paling berkesan dan akan kekal lama. Ia hanya sekali. Masa itu tak boleh dibeli lagi walau dengan harta sebanyak alam ini.
Rasanya semua yang akan berkahwin atau dah berkahwin dah baca macam-macam mengenai pembentukan anak-anak ni. Syeikh Al-Qardawi pernah sebut bahawa apa saja yang berlaku pada dia hari ni adalah kesan didikan ayah dan ibunya ketika dia kanak-kanak dulu. Kita tahu didikannya dalam Madrasah Tarbiyyah Hassan Albanna amat signifikan dalam hidupnya sejak berusia belasan tahun lagi, namun didikan ibubapa adalah pembentukan awal yang tiada galang gantinya (kalau tak silap ada disebut dalam bukunya Pengalamanku Bersama Ikhwan Muslimin)
Semoga coretan ini ada sedikit manfaat. Betullah kata Imam AlBanna bahawa tanggungjawab yang terpikul dibahu kita ni lebih banyak daripada masa yang kita ada. Seorang individu, dia memegang pelbagai jawatan i.e jawatan sebagai hamba ALLAH, anak, menantu, adik, abang, suami/isteri, ayah, pendidik, daie, murabbi, mutarabbi, jiran, pelajar, pekerja, majikan etc.....itu belum dikira lagi jawatan-jawatan di NGO, komuniti masyarakat, surau dan kerja-kerja membangun Ummah ini. Semuanya menuntut masa dan kesungguhan yang bukan sedikit. Semuanya membuka peluang-peluang utk mencari Redha Allah. Terasa bila makin tua, makin banyak pula tanggungjawab. Semoga ALLAH akan memberi kita kekuatan dan menetapkan hati atas Iman. Wallahualam.
Gambar ni diambil dalam skype (from 8,000 kilometer away). Naim solat dgn Umminya. Budak kecik dua orang lagi tu kat belakang, tak tahan dah nak main.
Category: | 0 Comments
0 comments to “Didik Aku Dengan Kasihmu”
Post a Comment